Ramai pelajar yang berminat dalam bidang keselamatan pekerjaan sering tertanya-tanya apakah yang sebenarnya dipelajari dalam program Bachelor of Occupational Safety and Health (Hons.) di Universiti Selangor (UNISEL)? Dan bagi ibu bapa pula, mereka ingin tahu bagaimana program ini dapat membentuk anak mereka menjadi seorang profesional yang mampu melindungi keselamatan dan kesihatan orang lain di tempat kerja.

Bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, atau lebih dikenali sebagai OSH, bukan sekadar tentang memakai topi keselamatan atau mematuhi arahan keselamatan. Ia adalah satu disiplin profesional yang menggabungkan sains, pengurusan, undang-undang dan psikologi dalam usaha memastikan setiap individu pulang ke rumah dalam keadaan selamat setiap hari. Di UNISEL, program ini dibina berasaskan Programme Standards: Occupational Safety and Health (MQA) serta diiktiraf oleh MQA dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Malaysia menjadikan ia satu program akademik yang kukuh dan diiktiraf industri.

Memahami Asas Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan

Perjalanan pelajar OSH di UNISEL bermula dengan memahami konsep asas keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Dalam kursus Occupational Health, pelajar didedahkan kepada kesan pekerjaan terhadap kesihatan manusia, bagaimana faktor seperti bunyi bising, habuk, bahan kimia dan tekanan kerja boleh menyebabkan penyakit pekerjaan. Di sini mereka belajar menilai punca risiko dan mencadangkan langkah pencegahan, sesuatu yang menjadi asas penting bagi mana-mana pegawai keselamatan.

Pada masa yang sama, pelajar turut mempelajari Industrial Hygiene, yang menumpukan kepada pengenalpastian dan pengawalan pendedahan terhadap bahaya fizikal, kimia dan biologi. Mereka akan menggunakan peralatan khas seperti dosimeter, pam udara, dan alat pengesan gas untuk menilai keadaan persekitaran kerja. Semua ini membantu mereka memahami bahawa setiap keputusan keselamatan mesti disokong oleh bukti saintifik dan data sebenar.

Ergonomik dan Bahaya Kimia di Tempat Kerja

Apabila pelajar melangkah ke tahap yang lebih tinggi, mereka akan belajar tentang Ergonomics, satu bidang yang mengkaji hubungan antara manusia, peralatan dan tempat kerja. Ia bukan sekadar isu “duduk lama di meja kerja”, tetapi menyeluruh hingga ke aspek beban fizikal, reka bentuk peralatan dan susun atur ruang kerja. Pelajar belajar bagaimana faktor ergonomik boleh memberi kesan kepada prestasi dan kesihatan jangka panjang seseorang pekerja.

Kemudian, mereka meneruskan ke bidang Chemical Safety dan Industrial Toxicology, yang memberi tumpuan kepada keselamatan bahan kimia industri dan kesan toksik terhadap tubuh manusia. Mereka akan belajar menilai risiko bahan kimia melalui Lembaran Data Keselamatan (MSDS), memahami sistem pelabelan GHS, dan mengenal pasti cara penyimpanan serta pelupusan yang betul. Bidang ini amat penting kerana banyak kemalangan industri berpunca daripada pengurusan bahan kimia yang tidak betul.

Pengurusan Risiko, Undang-Undang dan Sistem OSH

Salah satu kekuatan utama program OSH di UNISEL ialah gabungan antara teori dan pengurusan. Dalam kursus Occupational Safety and Health Management System (OSHMS) dan OSH Legislation, pelajar mempelajari struktur dan tanggungjawab organisasi dalam melaksanakan sistem keselamatan yang efektif. Mereka didedahkan kepada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994 beserta pindaan terbaur 2022) dan peraturan-peraturan berkaitan yang dikuatkuasakan oleh DOSH.

Pelajar juga diajar bagaimana mengurus penilaian risiko (Risk Assessment), membangunkan polisi keselamatan, serta melaksanakan audit dan pemeriksaan tempat kerja. Mereka belajar bahawa keselamatan bukan hanya mematuhi undang-undang, tetapi membina budaya kerja yang mengutamakan nyawa manusia.

Kesiapsiagaan dan Pengurusan Kecemasan

Dalam dunia pekerjaan sebenar, kemalangan boleh berlaku walaupun langkah pencegahan diambil. Oleh itu, pelajar OSH turut dilatih dalam Emergency Preparedness and Response serta Incident Investigation. Mereka akan mempelajari bagaimana sesuatu insiden disiasat, bagaimana punca dikenal pasti, dan bagaimana pelan tindakan diperbaiki agar tidak berulang. Melalui latihan simulasi, mereka mempraktikkan cara menguruskan keadaan kecemasan seperti kebakaran, tumpahan bahan kimia atau kegagalan sistem.

Kursus seperti Fire Safety, Construction and Machinery Safety, dan Process Safety Management juga memperkukuh pemahaman pelajar terhadap risiko teknikal dan mekanikal. Pendekatan praktikal ini memastikan mereka bukan sekadar tahu teori, tetapi mampu menilai bahaya secara profesional di lapangan industri sebenar.

Latihan Industri: Pengalaman Dunia Sebenar

Sebelum menamatkan pengajian, setiap pelajar akan menjalani latihan industri selama 24 minggu di tapak kerja sebenar sama ada di kilang, tapak pembinaan, syarikat minyak & gas atau agensi kerajaan. Di sinilah mereka mempraktikkan apa yang dipelajari: melakukan pemeriksaan tempat kerja, menyertai mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan (SHC), menilai risiko, dan menyediakan laporan keselamatan sebenar. Pengalaman ini menjadikan pelajar UNISEL lebih bersedia untuk bekerja sebaik sahaja menamatkan pengajian.

Melahirkan Graduan Yang Bersedia Menghadapi Dunia Industri

Keseluruhan program OSH di UNISEL direka untuk membentuk pelajar menjadi individu yang bukan sahaja mahir secara teknikal, tetapi juga berfikir secara analitik dan bertanggungjawab secara sosial. Mereka belajar melihat sesuatu masalah bukan sekadar dari sudut bahaya, tetapi dari perspektif manusia, undang-undang dan organisasi. Setiap tugasan, latihan makmal dan projek lapangan melatih mereka menjadi profesional yang boleh dipercayai individu yang tahu bahawa keselamatan bukan sekadar prosedur, tetapi satu budaya yang perlu diterapkan dalam setiap organisasi.

Dan apabila mereka melangkah keluar sebagai graduan, mereka bukan hanya membawa segulung ijazah. Mereka membawa satu falsafah penting bahawa setiap tempat kerja boleh menjadi selamat, jika ada ilmu, disiplin dan kesedaran untuk menjaganya.

Itulah yang sebenarnya dipelajari oleh pelajar Degree in Occupational Safety and Health di UNISEL, ilmu yang bukan sekadar melindungi diri sendiri, tetapi menyelamatkan nyawa orang lain juga.

Post a Comment

Previous Post Next Post